SEKOLAH MENENGAH SULTAN ADBUL HALIM, 

06009 JITRA, KEDAH DARUL AMAN

TEL: 04 7143209 / FAX: 04 7143215

E-MEL: smsah@ppdkubangpasu.net

LAHIRNYA SEBUAH INSTITUSI
BERMULALAH SATU ERA..........

Pada 1958, sebuah darjah menengah pengantar Melayu telah dibuka di Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar dengan bilangan pelajar seramai 31orang. Kumpulan perintis ini telah mengambil peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran yang pertama kali diadakan dalam Bahasa Malaysia pada tahun 1960. 

Pada tahun berikutnya bilangan pelajar darjah menengah tersebut telah berkembang menjadi 268 orang pelajar daripada tingkatan satu hingga tingkatan empat. Kumpulan pertama daripada pelajar-pelajar ini telah menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Persekutuan iaitu yang pertama kali diadakan berpengantar Bahasa Malaysia pada tahun 1962. Daripada 43 orang calon, 36 daripadanya lulus dan 18 orang daripadanya pula telah berjaya menyambungkan pelajaran mereka ke tingkatan enam di Sekolah Alam Shah.

Memandangkan jumlah penuntut Pengantar Melayu yang semakin bertambah sebuah sekolah menengah berpengantar Bahasa Malaysia diperlukan. Justeru itu lahirlah Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim (SMSAH). Namun begitu, penuntut-penuntut SMSAH masih ditempatkan di Kolej Sultan Abdul Hamid, dengan Encik Ahmad bin Md. Isa memangku jawatan Pengetua pada ketika itu.
Tanggal 7 Mei 1963, SMSAH mendapat bangunannya sendiri di tempat yang ada sekarang iaitu berhadapan dengan Ladang Jenan. SMSAH terletak dalam satu kawasan seluas lebih 51 ekar di kilometer 16 Jalan Alor Star - Jitra. Ketika itu SMSAH terdiri daripada 27 buah bilik darjah, sebuah dewan besar dan sebuah jimnasium. Dua buah daripada bilik darjah digunakan sebagai asrama untuk penginapan 100 orang pelajar. Mulai saat itu SMSAH lebih dikenali oleh masyarakat tempatan sebagai 'Jenan' kerana kedudukannya.
 
Yang berhormat Senator Dr. Mahathir bin Mohamad (sekarang Dato' Seri Perdana Menteri kita) dan Yang Berhormat Dato' Shaari bin Daud, bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah yang pada masa itu menjadi Pegawai Daerah Kota Setar telah dilantik menjadi Ahli Lembaga Pengelola Sekolah di mana Yang Berhormat Senator Dr. Mahathir bin Mohamad telah dipilih sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola yang pertama sekolah ini.


Sepanjang dekad enam puluhan SMSAH telah mengalami perkembangan pesat supaya menjadi sebuah institusi pendidikan yang mantap bagi memenuhi aspirasi negara yang baru merdeka ketika itu. Pada 1 Januari 1964 era SMSAH bermula dengan diterajui oleh Encik Ahmad bin Haji Saleh (sekarang bergelar Dato') sebagai Pengetua SMSAH. Bilangan penuntut pada masa itu ialah seramai 1174 orang iaitu terdiri daripada pelajar tingkatan satu hingga tingkatan lima. Pada bulan Februari, sebanyak tiga buah bangunan asrama dan sebuah masjid telah mula dibina dan siap pada tahun yang sama. 


Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Abdul Halim Muazzam Shah, Sultan Kedah telah merasmikan pembukaan SMSAH pada 8 April 1965.

Kelas Tingkatan Enam Sastera dengan pelajar-pelajar seramai 34 orang dimulakan di sini pada 26 Mac 1966. Sekolah ini merupakan sekolah kedua di tanahair yang memulakan kelas ini selepas Sekolah Alam Shah.

Pada 14 Oktober 1966, masjid sekolah diwartakan oleh Pejabat Hal Ehwal Agama Kedah sah untuk sembahyang Jumaat.
Kerja-kerja membina padang permainan sekolah pula telah dimulakan pada 24 November 1966.
Pada bulan Februari 1968 pula, lencana sekolah yang baru diperkenalkan. Sebulan selepas itu, kerja-kerja membina asrama puteri bermula.
Pada tahun 1969 SMSAH menjadi sekolah menengah atas dengan penempatan pelajar-pelajar tingkatan empat, lima dan enam sahaja. Serentak dengan itu pengambilan pelajar tingkatan satu dihentikan. Asrama puteri pula telah siap untuk digunakan.

Sementara itu masjid sekolah pula telah mendapat kebenaran secara rasmi daripada KDYMM Sultan Kedah untuk mengadakan fardhu Jumaat pada 25 Mei dan dinamakan Masjid Muadzam.


1 Januari 1972, SMSAH menjadi Sekolah Berasrama Penuh dengan 15 kelas sains dan 10 kelas sastera bersama 42 orang guru dengan Tingkatan 4, 5 dan 6. Langkah ini telah mengurangkan jumlah pelajar menjadi 863 orang sahaja. Sejak itu juga pentadbiran sekolah ini telah diletakkan terus di bawah Kementerian Pendidikan.
1974, SMSAH mengambil semula pelajar-pelajar tingkatan satu. Jumlah pelajar pada tahun ini ialah 726 orang. Pada 19 Januari 1974, Tuan Haji Lokman bin Musa dan rombongannya berbincang tentang memulakan kelas Matrikulasi UKM di SMSAH.

Pada tahun 1975, kelas Matrikulasi UKM dimulakan dengan 39 orang pelajar.
1980, SMSAH mula menerima 12 orang pelajar Yayasan Sabah dan 8 orang pelajar Yayasan Sarawak. Pelajar- pelajar tersebut adalah dari tingkatan 1 hingga Kursus Matrikulasi.


Pada tahun 1982 Bahasa Arab diperkenalkan di sekolah ini. Ia bertujuan supaya pelajar-pelajar dapat mendalami Agama Islam melalui Bahasa Arab itu sendiri serta memberi peluang kepada pelajar-pelajar menyambung pelajaran ke negara-negara Timur Tengah. Masa yang diperuntukkan ialah 3 kali seminggu.
Pada pertengahan tahun 1984, mata pelajaran Bahasa Jepun diperkenalkan bagi mencerahkan lagi peluang para pelajar mengikuti program melanjutkan pelajaran ke negara Jepun. Program ini mula diperkenalkan pada tahun 1983 oleh Jabatan Perkhidmatan Awam.


Tahun 1985 merupakan tahun terakhir SMSAH mempunyai pelajar tingkatan enam.
Mulai tahun 1986 Kursus Matrikulasi UKM tidak lagi dijalankan di sini. Kekosongan ini diambilalih oleh pelajar-pelajar Kursus Matrikulasi UUM. Walaubagaimanapun pada tahun 1991, Kursus Matrikulasi UUM telah berpindah ke Kampus UUM Sintok. Dengan itu pengambilan pelajar-pelajar Tingkatan Empat ditambah melalui pengambilan pelajar- pelajar sekolah harian yang mencapai keputusan cemerlang dalam PMR untuk menjadi warga Jenan sehinggalah sekarang.

Jam Analog