
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Selamat Sejahtera.
Bismillahirrahmanirrahim
Tuan-tuan dan puan-puan,
Pertama sekali saya ingin melafazkan syukur kehadrat Allah SWT kerana dengan limpah kasih-Nya saya dapat kembali semula ke sekolah ini sebagai teraju utama menggantikan pengetua sebelum ini yang telah bersara wajib daripada perkhidmatan pendidikan. Dengan kembalinya semula saya ke sekolah ini bermakna saya telah diamanahkan untuk menggalas tanggungjawab bagi memacu sekolah ini agar terus berada di puncak kegemilangan.
Alhamdulillah serta syukur kerana kita telah diberi kesihatan dan kekuatan menyempurnakan segala tugas dan tanggungjawab sesi persekolahan 2007 dengan cemerlang. Hal ini selaras dengan moto SMK Dato’ Penggawa Barat iaitu ‘ KOMITMEN TINGGI TERAS KEGEMILANGAN SMKDPB’. Moto ini dipilih kerana itulah yang diharapkan bagi menjana ‘positive attitude’, ‘positive thinking’, ‘positive mind’, dan ‘positive living’.
Dalam menyingkap tabir persekolahan tahun 2008, marilah bersama-sama kita memulakan langkah dengan penuh harapan dan iltizam yang tinggi agar kita diberi kekuatan menggarap minda dan menjana idea yang lebih unggul serta mampu bertindak dengan lebih proaktif dalam melaksanakan agenda kerja yang diamanahkan selaras dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Dalam usaha mengangkasakan kegemilangan dan keunggulan dalam setiap agenda kerja, kita harus memperlengkap diri dengan ilmu dan kemahiran daripada pelbagai disiplin agar kita dapat memacu hala tuju pendidikan sekolah ini selaras dengan kehendak dan matlamat FPK.
Sesungguhnya kegemilangan dan keunggulan yang pernah kita gapai dalam pelbagai bidang merupakan manifestasi daripada komitmne tinggi dalam kalangan warga sekolah ini. Selanjutnya diharapkan budaya kerja cemerlang ini akan terus mengakar umbi dalam diri setiap warga SMKDPB.
Sebagai peneraju utama dalam setiap usaha, langkah, dan wacana pendidikan sekolah ini, maka marilah sama-sama kita beriltizam agar dapat menggarap dan mencerna makna moto sekolah ini demi melaksanakan segala agenda kerja dengan sempurna dan cekap. Oleh itu moto sesi persekolahan 2008 ini diharapkan akan menjadi landasan kea rah budaya kerja cemerlang merangkumi aspek kurikulum dan kokurikulum.
Sekian, terima kasih.
HJ.HASHIM BIN MOHD.DOM
PENGETUA
SMK DATO’ PENGGAWA BARAT
PONTIAN, JOHOR.